Dalam hidup ini kita pasti akan memerlukan teman atau dipanggil
sebagai rakan. Merekalah yang akan menjadi teman semasa kita masih hidup di
dunia ini. Rakan yang baik akan sentiasa membimbing kita ke arah kebaikan.
Dalam
kita berkawan biarlah ikhlas dan bukannya bersebab. Kita hendaklah sentiasa
berusaha untuk melakukan kebaikan kepada rakan kita tanpa mengharapkan apa-apa
balasan kembali darinya. Biarlah Allah S.W.T yang membalas kebaikan yang kita
lakukan.
Adab
dalam berkawan memang perlu sentiasa dijaga supaya hubungan persabahatan yang
dibina akan berkekalan sampai bila-bila. Kita akan dapat mengenali siapa
rakan-rakan yang benar-benar ikhlas berkawan dengan diri kita di waktu susah
dan juga senang.
Kawan
yang ramai sememangnya boleh dicari. Itu memang benar. Dimana-mana sahaja
tempat kita boleh berkenalan dengan orang lain. Rakan-rakan sekampung, rakan
sekolah, rakan universiti, rakan tempat kerja dan banyak lagi rakan-rakan lain
yang boleh kita jumpa dimana-mana. Pepatah ada mengatakan berkawan biar seribu,
bercinta biar satu.
Kehidupan
kita dan rakan-rakan kita adalah saling memerlukan antara satu sama lain.
Rakan-rakan boleh menjadi tempat untuk kita berkongsi masalah. Rakan yang
terbaik akan menjadi pendengar yang baik dan akan cuba membantu menyelesaikan
masalah yang kita hadapi.
Kita
juga boleh meminta pandangan dari rakan-rakan kita terhadap perkara yang kita
tidak tahu. Hargailah pandangan yang diberikan oleh rakan kita walaupun
adakalanya kita tidak bersetuju.
"Waktu kita dalam keadaan
senang, rakan-rakan akan mengenali kita. Waktu kita dalam kesusahan, kita akan
mengenali siapa rakan-rakan kita."
Masa
senang adalah masa yang paling disukai oleh sesiapa sahaja. Pada waktu senang
ramai rakan-rakan akan bersama dengan kita. Mereka akan berasa seronok dapat
berkawan dengan kita. Kita juga akan berasa seronok mempunyai rakan-rakan yang
ramai. Semua orang akan rasa gembira apabila berada pada waktu senang.
Tetapi
langit tidak selalu cerah. Kita akan diuji oleh Allah S.W.T dengan kesusahan.
Pada waktu susah tidak ramai orang yang dapat membantu diri kita. Pada waktu
ini juga kita akan dapat menilai siapakah yang benar-benar ikhlas berkawan
dengan diri kita. Ramai rakan-rakan akan lari meninggalkan diri kita kerana
kesusahan yang kita alami.
Jika
masih ada rakan-rakan yang setia bersama dengan kita itulah rakan-rakan yang
benar ikhlas dan hubungan persahabatan yang dibina. Mereka akan cuba membantu
kita mengikut kemampuan diri mereka. Bersyukurlah kita jika mempunyai
rakan-rakan yang setia bersama dengan kita di waktu susah.
Hargailah
rakan-rakan yang masih ada bersama dengan diri kita. Jika kita tidak pandai
untuk menghargai rakan-rakan kita, sudah tentu mereka akan pergi meninggalkan
kita. Berbuat baiklah kepada rakan-rakan kita mengikut kemampuan diri kita.
Sentiasa mengambil berat kepada diri mereka.
Contoh
hubungan persahabatan terbaik yang perlu kita contohi adalah sahabat-sahabat
seperjuangan Rasulullah S.A.W seperti Abu Bakar As-Siddiq Umar Al Khattab,
Usman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib dan sahabat-sahabat nabi yang lain.
Mereka
bersahabat kerana Allah S.W.T dan berjuang bersama-sama dengan Rasulullah S.A.W
untuk menegakkan agama Islam. Tidak kira di waktu susah atau pun senang mereka
akan tetap berjuang bersama dengan Rasulullah S.A.W. Itulah contoh sahabat
terbaik yang perlu kita contohi.
Semoga
hubungan persahabatan yang kita jalinkan bersama dengan rakan-rakan kita akan
sentiasa diberkati oleh Allah S.W.T. Berdoalah untuk kesejahteraan rakan-rakan
kita. Jika ada diantara rakan-rakan kita yang melakukan kesalahan maka
masing-masing perlu mengingatkan antara satu sama lain.
Perbetulkan
mana yang silap. Terimalah rakan-rakan kita seadanya kerana kita sebagai
manusia sememangnya tidak sempurna.